Assalamualaikum!
Ketika aku sedang membelek-belek majalah, aku tertarik dengan satu artikel yang sangat menyentuh sanubariku. Ya Allah.. Sesungguhnya aku belum mencapai ketaqwaan Mu. Banyak lagi perkara yang perlu aku perbaiki.
SUMBER:
MAJALAH i
OLEH: PROF MADYA MOHD NOR
MAMAT
Penghijrahan artis
tempatan dengan imej yang lebih islamik telah menjadi satu fenomena. Tampil
dengan imej yang lebih sopan, menutup aurat, serta sering melibatkan diri
dengan program-program ilmu yang bermanfaat.
Realitinya, tidak mudah
untuk keluar daripada kebiasaan biasa. Banyak halangan dan dugaan yang terpaksa
ditempuh dan diharungi. Namu, ia bukanlah suatu yang mustahil untuk
dilaksanakan, jika berpaksikan niat dan azam , yang sukar itu akan menjadi
mudah.
Sebenarnya kalau
diimbas dari dulu, ini bukanlah perkara baru kerana ramai figura seni yang
terlebih dahulu berhijrah daripada dunia glamor ke pentas dakwah.
Penghijrahan golongan
artis selebriti ini dikatakan mudah menarik perhatian dan mendapat tempat di
kalangan masyarakat. Seolah-olah industry seni ini memenangi banyak perhatian,
masa dan minat masyarakat berbanding industri lain.
Dalam hal ini, timbul
juga hal skeptisme dalam masyarakat, apabila golongan professional dan bijak
pandai turut menjadi figura penting dalam mencanangkan keraguan, kekeliruan dan
ketidakpercayaan mereka terhadap penghijrahan mereka. Sebahagiannya pula
seolah-olah memandang rendah usaha golongan artis ini untuk turut sama
menyumbang kepada usaha dakwah dalam masyarakat.
Lebih
menyedihkan,usaha mereka dilihat sebagai
lakonan, meraih publisiti malah ada yang mengandaikan golongan ini sengaja
mencari peluang untuk mendapatkan peluang-peluang ‘job-job’ baru dengan bayaran
yang lumayan.
Saya lihat kerenah
segelintir masyarakat kita sama sekali tidak menguntungkan perkembangan Islam.
Ini juga amat bertentangan dengan metode dakwah Rasulullah SAW apabila perkara
baik yang berlaku, baginda akan segera
menyebut dan memberikan penghargaan, sebaliknya apabila perkara jahat
dilakukan, baginda tidak menegurnya secara terang-terangan atau dengan cara
memalukan di hadapan orang ramai.
Fenomena artis
berhijrah adalah sesuatu yang sangat mengujakan saya. Ini kerana mereka
mempunyai pengikut yang ramai, tambahan pula golongan peminat mereka merupakan
populasi penting dan terbesar iaitu remaja. Kalaulah boleh kita membuat andaian
berdasarkan pepatah ‘pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang Negara,’ artis
berhijrah ini dilihat mampu untuk membantu Negara dan umat amnya, untuk turut
sama menentukan masa depan bangsa dan keutuhan Negara. Suatu aspek penting
dalam isu ini ialah penguasaan perhatian yang dimiliki oleh mereka. Jika benar
boleh dipergunakan ke arah kebaikan umat, saya fikir inilah ruang dakwah yang
efektif.
Timbul soal, apakah
artis ini dipergunakan untuk menyampaikan dakwah kepada golongan peminat
mereka? Pada saya, selagi kita dipergunakan untuk kebaikan masyarakat dan orang
ramai, bererti kita masih berguna. Bagi mereka yang tidak dipergunakan oleh
masyarakat barangkali kewujudan kita ketika itu tidak berguna! Meskipun jawapan
ironis ini bukanlah berbentuk ilmiah, tetapi ada benarnya untuk difikirkan
bersama. Gunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk memastikan dakwah
tersebar dan pastikan masyarakat dibangunkan dengan nila-nila kebaikan.
Gandingan sinergi selebriti yang memiliki peminat dan pengikutbersama dengan
golongan ilmuwan yang memiliki pengisian untuk disampaikan kepada ahli
masyarakat adalah sangat tepat. Perkongsian pengalaman dan dan motivasi mereka
berhijrah mampu memberi impak dan
memberi ruang pengikut mereka untuk turut menyertai penghijrahan serupa.
Baru-baru ini dalam
salah satu siri forum Bicara Cinta Anak Muda, saya diajukan persoalan yang
sangat menarik iaitu tentang hidayah, dicari atau dinanti? Istilah
‘belum sampai seru’, ‘semoga Allah memberi hidayah kepada saya’, ‘hidayah
ni hak milik Allah’ dan
sebagainya sering berlegar dalam masyarakat kita. Apatah lagi fenomena hijrah
sebilangan artis pada hari ni memberi suatu impak besar kepada perhatian
masyarakat umum. Persoalannya ialah, cukupkah hidayah itu dengan semata-mata
berdoa, atau menanti sesuatu petunjuk magik daripada Allah, atau mengharapkan
hati berdetik kuat untuk berhijrah, atau bagaimana? Kita dikongsi pengalaman hidayah, berupa
gambaran mimpi dimasukkan ke dalam api neraka, ditemukan dengan seseorang yang
memiliki karamah, petanda ganjil ketika sujud malah juga terdapat pengalaman
berdepan pengalaman sakaratul maut yang menginsafkan. Tidak dinafikan,
petunjuk ini adalah daripada Allah untuk hambaNya yang dikasihi dan terpilih.
Namun, berbalik
kepada persoalan awal kita iaitu, apakah kita mengharapkan ahli masyarakat kita
semata-mata menanti sampainya waktu melalui pengalaman magik, ajaib dan hidayah
spontan seperti berlaku kepada artis pujaan mereka?
Andainya berterusan
masyarakat digembur-gemburkan dengan peristiwa-peristiwa magik dan perubahan
drastik figura pujaan mereka, kita juga bimbang lama kelamaan persoalan hidayah
difahami secara silap oleh umat Islam. Sepertimana ramai di kalangan kita
yang bercakap tentang petanda-petanda Lailatul Qadar di bulan Ramadhan, dinanti
bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba namun akhirnya Ramadhan berlalu tanpa
kita temui peristiwa-peristiwa ganjil yang digembur-gemburkan. Seharusnya,
kita melipatgandakan usaha dengan melaksanakan saranan pengisian untuk
mendapatkan malam tersebut. Usaha pencariannya digariskan oleh Allah dan
RasulNya, tetapi tumpuan kita lebih berfokus kepada petanda-petanda magik yang
dinanti.
Kerana itu, usaha
mencari dan memohon hidayah daripada Allah mestilah diseimbangkan dengan usaha
merebut segera andainya hidayah ditemukan kepada kita pada bila-bila masa.
Sekiranya ada usaha mencari, laluan untuk melihat tanda-tanda hidayah yang
menyedarkan serta menginsafkan kita akan terbuka. Untuk mancari hidayah, ia
mestilah bermula dengan memantapkan ilmu asas agama. Terdapat banyak kotasi
yang menjelaskan pentingnya ilmu dalam menentukan jalan iman seseorang,
antaranya ‘seawal-awal agama adalah ilmu mengenali Allah’, ‘sekiranya untuk
berjaya di dunia hendaklah dengan ilmu, sekiranya untuk berjaya di akhirat
hendaklah dengan ilmu dan sekiranya untuk berjaya di dunia dan akhirat
hendaklah dengan ilmu’, malahan banyak ayat dan hadis membayangkan hanya ilmu
yang mengesahkan ketaqwaan seseorang, martabat orang beilmu adalah sangat
tinggi di sisi Allah dan sebagainya. Bermakna untuk menemui hidayah, tidak ada
istilah menanti, menunggu seru dan mengharap semata-mata. Ia perlu diusahakan,
dengan iltizam dan istiqamah berpaksikan kepada ilmu yang benar. Jangan kita
termasuk golongan yang memperlekeh ilmu agama, kerana hdayah pastinya akan
menjauh!
Isu kedua, penghijrahan
yang berlau secara tiba-tiba, pasti memerlukan pengisian jiwa dengan ilmu yang
mantap. Keinsafan boleh berlaku dan boleh menghilang. Penghijrahan boleh
berlaku dam masa beberapa derik, tetapi untuk mengekalkan hijrah memerlukan
sokongan dan kekuatan ilmu yang perlu dimantapkan daripada masa ke semasa. Ini bermakna ,
bertemu hidayah, berhijrah dan meninggalkan dunia lama belum mampu melonjakkan
kita ke tahap bertaqwa. Ia mesti
disusuli dengan kefahaman yang jelas
dengan ilmu yang tepat. Dan sudah tentu kaedah dakwah yang lebih autentik
seperti masjid, sekolah, universiti dan sebagainya hendaklah dijadikan sandaran
dan rujukan. Setelah hidayah menghijrahkan penampilan dan minat kita kea rah
yang lebih baik, pengisian dunia baru yang kita berhijrah perlu dilaksanakan.
Ilmu menjadi asas yang sangat penting!
Di sini, usaha
beberapa pihak yang menyambut baik penghijrahan mereka yang diberikan hidayah
Allah untuk berhijrah kepada perkara makruf dan meninggalkan perkara mungkar
ini sewajarnya diberi pujian dan sokongan. Majalah I contohnya , yang
menganjurkan program perkongsian mereka yang diberi hidayah dan kekuatan untuk berhijrah ini,
dengan gandingan golongan ilmuan untuk berkongsi panduan pada sudut ilmiah.
Kelompok Usrah Fitrah yang diwujudkan atas inisiatif golongan ilmuan yang dekat
dengan artis-artis berhijrah juga menjadi suatu pendekatan yang mampu
memantapkan lagi penghijrahan mereka.
Hidayah yang diterima
diiringi dengan ilmu yang memberi kefahaman jelas tentang jalan hidayah yang
dilalui akan memperkukuhkan hati kita untuk terus bergerak di atas platform
yang barangkali amat berbeza dengan masa lalu sebelum berhijrah. Ilmuwan
seharusnya berkongsi ilmu secara ikhlas dengan sesiapa sahaja yang berhasrat
ataupun melakukan perkara kebaikan, tanpa prejudis dan pandangan rendah kepada sejarah masa
lalu. Sesungguhnya siapa pun kita, kita semua mempunyai kekuatan untuk disinergi
dan kelemahan untuk diketepi. Sama-sama gandakan usaha mencari dan mendapatkan hidayah
Ilahi, berkongsi pengalaman hidayah untuk menjadi motivasi diri dan berkongsi
ilmu untuk sama-sama mengharapkan hidayah dan ilmu dapat sinergi.
Ditaip oleh: SUGHAYA
Ditaip oleh: SUGHAYA


No comments:
Post a Comment